Rabu, 1 September 2010

AYAT 1000 DINAR

Ayat 1000 Dinar

Ayat seribu dinar adalah petikan ayat di dalam Al-Quran iaitu baris terakhir ayat kedua dan bersambung dengan ayat ketiga daripada surah Al-Talaq. Banyak fadhilat yang diperolehi jika diamalkan ayat ini. Antara fadilatnya ialah mendapat rezeki yang tidak disangka bahkan memperoleh rezeki menurut jalan yang tidak pernah terfikir, melenyapkan segala bentuk kesusahan serta dijauhkan daripada keraguan dan kesusahan maut.
Bermaksud :
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(Ayat 2 & 3 Surah At-Talaq)


Kaifiat Ayat 100 Dinar;
Ayat ini mengandungi seribu faedah jikalau di amalkan tiap-tiap kali lepas sembahyang sebanyak tiga kali, insya’Allah akan beroleh seribu faedah, barang siapa yang beramal ayat ini Allah taala akan mengadakan baginya jalan keluar dari segala kesulitan, Allah ta’ala akan memberi rezeki yang banyak dengan tidak di sangka-sangka dan Allah Ta’ala menyampaikan segala hajatnya, dengan beramal bersungguh-sungguh dan yakin kepada Allah, terlindung segala daripada bala di darat dan di laut.

Jikalau dibaca ayat ini kepada orang yang sedang sakit sebanyak 3 kali dan dihembuskan kepada si pesakit itu dan dijampi pada air sebanyak 3 kali diberi minum, insya’Allah si pesakit akan beransur sembuh dengan izin Allah Taala.

Jikalau mendapat sebarang kesusahan yang amat berat, kesusahan kerana kezaliman orang-orang tamak, oleh peperangan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Negara, beramallah selalu dengan ayat ini selepas daripada sembahyang lima waktu, mudah-mudahan segala kesusahan mendapat perlindungan dari Allah Ta’ala.

Jikalau masuk berperang menentang musuh, tiada binasa oleh terbakar, jika di pukul dengan besi tiada lut dan tiada binasa dari sebarang benda yang bahaya, hendaklah beramal ayat ini dan bertawakkal kepada Allah, baca ayat ini sesudah sembahyang lima waktu, baca ketika hendak tidur tiga kali, baca ayat ini ketika hendak keluar rumah sekurang-kurangnya tiga kali.


Riwayat 1000 Dinar

Menurut banyak riwayat, sebab ayat seribu dinar diturunkan Allah adalah kerana peristiwa berkaitan seorang sahabat bernama Auf bin Malik al-Asyja’i yang mempunyai anak lelaki ditawan kaum Musyrikin.

Beliau mengadu perkara itu kepada Rasulullah SAW dan Baginda meminta Auf supaya bersabar sambil bersabda kepadanya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan memberi jalan keluar kepadamu.”

Ternyata tidak lama selepas itu anaknya dilepaskan daripada tawanan pihak musuh dan dalam perjalanan ia terserempak seekor kambing kepunyaan musuh lalu dibawanya kambing itu kepada ayahnya.

Kemudian turunlah ayat yang bermaksud: “Siapa yang bertakwa kepada Allah, Dia menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka dan tidak terfikir sebelumnya.” (Hadis riwayat Ibnu Jarir).

Menyingkap khasiat dan kegunaan pelbagai surah dalam al-Quran, buku Amalan Mustajab dan Murah Rezeki hasil tulisan Nurhafiz Abdullah memberi tumpuan kepada hikayat yang dikaitkan dengan ayat seribu dinar.

Ini termasuk riwayat hartawan yang bermimpi didatangi lelaki meminta beliau bersedekah 1,000 dinar kepada fakir miskin dan kisah Malik bin Dinar yang dapat dibaca pada bahagian awal buku berkaitan ayat seribu dinar.

AYAT 1000 DINAR ini juga sesuai dijadikan doa untuk kejayaan, keberkatan hidup serta murah rezeki disamping mengajak manusia tabah menghadapi ujian yang didatangkan dan berusaha mencari jalan penyelesaian dengan bermohon kepada Allah Taala.

Tiada ulasan: