1. Pontianak
Pontianak merupakan makhluk yang menyerupai wanita, berpakaian serba putih, berambut panjang, sering mengilai dan adakalanya membawa batu nisan yang dibalut seperti bayi. Pontianak dipercayai oleh masyarakat Melayu berasal daripada perempuan yang mati ketika mengandungkan anaknya. Terdapat juga pendapat menyatakan bahawa ia merupakan jin/hantu liar yang berdendam dan bertindak mengganggu manusia.
2. Langsuir
Langsuir adalah sejenis makhluk halus penghisap darah dalam kepercayaan masyarakat Melayu.
Langsuir dipercayai akan merasuk mangsa dan menghisap darah mangsa secara perlahan-lahan sehingga mati.Terdapat sesetengah pendapat bahawa Langsuir berasal daripada wanita yang mati bersalin.Langsuir dipercayai mampu menyerupai seorang perempuan yang cantik dan mengoda lelaki agar mengikuti mereka ketempat sunyi. Apabila sampai ketempat yang sunyi, langsuir akan berubah kembali kepada rupa asal dan akan merobek perut mangsa atau mencekik leher mangsa disamping menghisap darah mereka. Ada yang mengaitkan Langsuir dengan bau harum diwaktu malam dan orang-orang tua melarang menegurnya (bau wangi) kerana teguran itu ibarat menyerunya datang.
3. Jerangkung
Jerangkung merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/syaitan.Jerangkung bisanya dipelihara dengan tujuan membantu pemiliknya melindung diri atau bagi memusnahkan musuh. Adakalanya dipelihara bagi tujuan menganiaya orang lain kerana ia mampu merasuk dan menjadikan mangsanya menderita. Pemelihara Jerangkung biasanya akan membeli atau memuja untuk mendapatkan Jerangkung. Jerangkung yang dipelihara, dipercayai secara umum akan mematuhi perintah tuannya selagi ia dijaga dengan baik. Sekiranya gagal, Jerangkung akan menghisap darah ahli keluarga terdekat pemiliknya. Sekiranya Jerangkung tidak lagi diperlukan, pemilik Jerangkung perlu mendapatkan tuan pengganti, atau menghantar Jerangkung itu balik ketempat asalnya, atau pun dibuang, biasanya dihanyutkan dengan acak kedalam sungai.
4. Pelesit
Pelesit merujuk kepada sejenis makhluk halus, kemungkinannya dari golongan jin/syaitan, yang dipelihara oleh seseorang, biasanya wanita, bagi tujuan memudaratkan musuh. Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka. Hantu pelesit dipercayai diberi makan darah dari jari tangan tuannya. Ianya dikaitkan dengan sejenis belalang kecil yang dipanggil belalang pelesit dan akan memasuki rumah mangsanya pada waktu malam. Hantu pelesit dikatakan mampu menjelma sebagai sejenis belalang pelesit, belalang kecil yang mempunyai kepala berbentuk tajam dan tirus, dan masuk kerumah mangsa. Pelesit ini kemudiannya akan mengambil peluang untuk menyerang dan menghisap darah mangsa apabila mangsa leka.
5. Toyol
Toyol merujuk kepada sejenis makhluk yang menyerupai kanak-kanak bogel yang dipelihara bagi tujuan mencuri terutamanya duit.Toyol ini juga dikatakan mempunyai perangai seperti kanak-kanak kecil. Sesetengah pendapat mengatakan ianya berwarna kehijau-hijauan dan berkepala botak.Pemeliharaan makhluk halus ini juga dikenali sebagai saka.
6. Pocong/Hantu Bungkus/Punjut
Hantu Pocong/Hantu Bungkus atau dikenali juga sebagai Hantu Punjut merujuk kepada sejenis makhluk yang berbentuk seperti mayat yang dibungkus dengan kain kafan.Hantu bungkus sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat, dan akan bergerak dengan meloncat seperti hantu cina, atau bergolek. Ia dikatakan mampu bergerak sepantas kereta, bergerak seiring dengan kereta yang dipandu oleh mangsa usikan mereka.
7. Penunggu
Hantu/makhluk belaan oleh manusia untuk tujuan menjaga harta benda si pembelanya. Menurut kepercayaan Melayu, penunggu ini akan diwarisi terun-temurun oleh ahli keluarga pembelanya.Andainya tidak diwariskan penunggu ini akan berkeliaran dan adakalanya ia mendiami rumah-rumah kosong, busut, pohon-pohon pokok yang besar lagi menggerunkan, mahupun pulau-pulau yang tidak berpenghuni. Penunggu ini juga dikenali sebagai saka.
8. Jin Tanah
Jin Tanah dalam budaya Melayu, merujuk kepada sejenis makhluk halus dan perkara tahyul. Ia dikatakan terdiri daripada golongan jin atau syaitan, yang dikatakan menjaga sesuatu kawasan (tanah) yang dikuasainya. Jin akan mengganggu manusia sekiranya kawasannya diceroboh. Mudah merasuk seseorang yang lemah semangat atau tidak sihat. Boleh dikelaskan kepada dua jenis, Jin Islam dan Jin Kafir.
9. Jembalang Tanah
Jembalang atau lebih dikenali sebagai jembalang tanah merujuk kepada semangat atau makhluk halus yang terdapat dikawasan hutan dara atau hutan muda. Ianya dikatakan menyerupai binatang atau haiwan yang menakutkan. Jembalang tanah dikatakan berasal daripada urin atau tali pusat bayi yang ditanam di kawasan hutan. Jembalang tanah adalah sejenis makhluk halus yang hidup bebas dan tidak dipelihara oleh manusia. Tetapi boleh dipelihara apabila dibacakan mantera dan dihidangkan makanan. Jembalang tanah dikatakan akan mengganas sekiranya kawasan mereka diterokai. Mengikut kepercayaan Melayu dahulu, setiap kali sebidang tanah baru dibuka, persembahan makanan yang dikenali sebagai acak akan diletakkan dikawasan tersebut bagi mengelakkan jembalang tanah mengamuk dan mendatangkan kemudaratan kepada peneroka tersebut.
10. Mambang
Mambang merujuk kepada semangat atau makhluk halus yang terdapat di sesuatu tempat tertentu. Mambang adalah sejenis makhluk halus yang hidup bebas dan tidak dipelihara oleh manusia, dikatakan sama seperti bunian, atau pari-pari kerana mempunyai sistem masyarakat yang lengkap, atau juga dikenali sebagai orang halus. Mambang dipercayai berasal dari kepercayaan semangat kuno yang berasal dari pengaruh Indonesia. Mambang dibahagikan kepada beberapa kelompok, bergantung kepada ancaman mereka. Mambang dikatakan berada dikawasan tertentu dan mampu mendatangkan kemudaratan kepada mereka yang menceroboh kawasannya. Kepercayaan ortodok ada mengatakan mambang ini berhubungkait rapat dengan faktor persekitaran seperti api,angin,tanah dan air yang boleh mendatangkan mudarat seperti malapetaka dan bencana alam.
11. Keramat
Keramat merujuk kepada semangat atau makhluk halus yang terdapat disuatu tempat tetapi tidak mengganggu orang. Ianya hidup bebas dan tidak dipelihara oleh manusia. Hantu Keramat dikatakan akan berada di sesuatu tempat tertentu dan mampu membantu mereka yang datang membuat permintaan dari mereka. Hantu keramat biasanya dikaitkan dengan batu besar, kubur lama, pokok atau sesuatu kawasan seperti dipersimpangan. Keramat juga menjurus kepada unsur-unsur kesyirikan kerana dipercayai akan mengkabulkan permintaan seseorang yang menyembah dan memuja mereka. Contohnya, dengan mempersembahkan telur, pulut kuning dan ayam panggang, seseorang itu mampu menang loteri.12. Lembaga
Lembaga merujuk kepada makhluk halus yang menonjolkan diri dalam pelbagai rupa bentuk sama ada menyerupai manusia atau haiwan. Kebanyakkannya berwarna hitam atau putih dan boleh dilihat samar-samar untuk beberapa ketika dan akan hilang sejurus kemudian. Biasanya terdapat dikawasan orang yang mati dibunuh atau di kawasan kemalangan maut. Dipercayai ianya adalah roh si mati yang tidak tenteram dan sengaja munculkan diri untuk memburu seseorang atau membalas dendam.
13. Puaka
Hantu Puaka merujuk kepada sejenis makhluk halus yang hidup bebas dan tidak dipelihara oleh manusia. Dalam kepercayaan Melayu, hantu puaka dikatakan sering berkeliaran bersama-sama cuaca buruk dan dipercayai sering mengikut fenomena alam dan mendatangkan kerosakan kepada harta benda. Adakalanya hantu puaka mendiami kawan lubuk atau perigi terbiar dan kawasan tersebut akan menyebabkan berlakunya banyak kematian yang berulang.
14. Penanggalan/Tengelong/Hantu Jeruk Purut
Hantu Penanggalan atau Hantu Jeruk Purut, juga dikenali sebagai Hantu Tengelong di negeri Kedah merujuk kepada seseorang, biasanya wanita, yang menuntut ilmu hitam bagi sesuatu kepentingan. Mereka yang menuntut ilmu ini mampu menceraikan kepala dengan badan mereka dan kepala mereka mampu terbang dengan tali perut terurai-urai. Darah yang menitik dari tali perut mereka dipercayai berbisa dan akan menyebabkan kudis kepada mereka yang terkena. Mereka yang menuntut ilmu penangalan biasanya akan menyimpan setempayan cuka bagi memeram urat perut mereka agar kecut sebelum bercantum masuk kembali kedalam badan asal mereka. Dipercayai sekiranya tubuh mereka dijumpai orang dan diterbalikkan, kepala mereka akan bercantum secara terbalik, dengan itu rahsia mereka akan terbongkar.
Penangalan dipercayai suka darah perempuan yang bersalin, dan sekiranya mereka menghisap darah tersebut, wanita bersalin itu akan mati akibat tumpah darah. Oleh itu, biasanya disekeliling rumah wanita bersalin (masa dahulu, rumah dibina bertiang), diletakkan sejenis daun yang berduri. Dipercayai penanggalan takut hendak mendekati rumah tersebut kerana bimbangkan tali perutnya tersangkut kepada duri tersebut.
Ketika penanggalan terbang, ia dipercayai berupa cahaya putih berkilauan, dari urat perut mereka yang terburai itu.
15. Polong
Hantu Polong merujuk kepada semangat atau makhluk halus belaan yang dipelihara oleh seseorang, biasanya lelaki, bertujuan untuk memudaratkan musuh. Hantu polong dipercayai diberi makan darah dari jari tuannya.
Menurut kepercayaan orang Melayu, polong dihasilkan dengan meletak darah orang yang mati dibunuh kedalam botol bermulut panjang. Botol tersebut kemudiannya akan dipuja dan jampi serapah akan dibacakan dalam tempoh masa tertentu. Selepas tujuh hingga dua minggu akan kedengaran bunyi mengerit daripada dalam botol.
Pemuja polong perlu menghiris sedikit jarinya dan memasukkan jarinya yang berdarah itu ke dalam botol untuk memberi polong makan. Dengan memberi makan, polong ini akan terikat kepada tuannya dan akan melakukan apa sahaja suruhan tuannya.Polong biasanya akan disimpan di dalam botol dan hanya dikeluarkan apabila hendak memusnahkan musuh. Mangsa polong biasanya boleh dikenali dengan kesan lebam pada mayat dan darah keluar melalui mulut.
16. Bota
Bota ialah sejenis gergasi besar yang hidup dalam tanah, menyembunyikan diri dalam gua di dalam tanah. Bota adalah makhluk yang menyerupi manusia tetapi jauh lebih besar saiznya.Bota akan keluar daripada tempat persembunyian pada ketika-ketika tertentu sahaja dan amat meminati kanak-kanak yang tidak memakai seluar.
Kebanyakan masanya dihabiskan di dalam tanah dan jarang dilihat oleh manusia. Menurut nenek-nenek tua di kawasan ini, badan gergasi Bota ini menyerupai warna tanah itu sendiri terutama di kawasan berlumpur, di tepi rimbunan buluh kuning dan di tepian sawah padi di mana ikan puyu dan tilan biasa ditemui. Makanannya didapati di dalam tanah juga dan sesekali akan mencari makanan dalam bentuk daging manusia atau haiwan. Manusia dan haiwan bukanlah makanan kegemarannya kerana ia hanya keluar sesekali sahaja terutama pada rembang petang.
Gergasi Bota ini dikaitkan dengan kehilangan seseorang. Jika seseorang penduduk didapati hilang, mereka percaya Bota yang bertanggungjawab dan penduduk tersebut telah melanggar pantang 'kewujudan' Bota di sesuatu kawasan. Anehnya Bota ini tidak banyak tapi boleh berada di mana-mana sahaja terutama di kawasan Sungai Perak. Hantu ini dikatakan terkenal suatu ketika dahulu sehingga namanya digunakan sebagai nama sebuah tempat di Perak.
17. Bajang
Bajang merujuk kepada sejenis makhluk halus yang aneh dan dipelihara bagi tujuan memudaratkan musuh.Bajang dipuja daripada mayat bayi yang mati semasa lahir. Ia merupakan setan jantan yang sering kali menjelma sebagai kucing pole cat. Ada pendapat mengatakan Bajang menyerupai musang kerana matanya yang besar, luas dan terbeliak.Bajang seringkali menyerang kanak-kanak dan mampu menyebabkan penyakit misteri yang boleh membawa maut kepada mangsanya.Bajang akan dikawal oleh pemiliknya dan akan disimpan di dalam tabung buluh. Sejenis daun khusus akan digunakan sebagai penyumbat tabungan tersebut dan dikunci dengan tangkal. Bajang hanya dikeluarkan apabila pemiliknya hendak mengenakan musuhnya.
Bajang yang dipelihara itu akan diberi makan telur dan juga susu. Sekiranya tidak dijaga dengan baik dan diberi makan, Bajang yang kelaparan itu akan menyerang tuannya.Bajang boleh dihindari dengan menggunakan tangkal atau azimat. Tidak ada cara membunuh bajang tetapi biasanya sekiranya tuannya diketahui, dia akan dibunuh atau diusir dari kampung tersebut.Bajang biasanya perlu diwarisi, dan sekiranya tidak diturunkan kepada waris, tuannya akan menjadi bangkai bernyawa. Tubuhnya mati dan berbau busuk, tetapi apabila hendak dikebumikan, ia akan bangkit seperti hidup. Selain itu, ia akan makan dengan lahapnya apabila diberi makan.
18. Bunian
Orang Bunian ialah sebarang makhluk halus dari golongan jin dalam legenda Melayu, mirip dengan elf dalam legenda Eropah. Kerajaan atau perkampungan bunian tidak dapat dilihat dengan mata kasar, hanya manusia yang terpilih sahaja dapat melihat perkampungan mereka. Orang bunian dikaitkan dengan singgahsana atau mahligai indah, kaya dengan emas berlian serta barang-barang/benda aneh dan pelik yang sukar ditemui dialam maya seperti keris dan senjata purba serta burung cenderawasih.
Orang bunian wujud dalam masyarakat besar, menyerupai struktur sosial manusia, mempunyai keluarga, puak, dan struktur masyarakat serta mempunyai wanita atau perempuan yang cantik. Orang Bunian dikatakan mendiami kawasan hutan belantara, jauh dari perhubungan manusia, tetapi ada juga yang tinggal berdekatan dengan manusia malah berkongsi rumah dengan keluarga manusia. Sesetengah masalah kerasukan dikatakan berpunca dari orang bunian.
Orang bunian mempunyai kuasa luar biasa yang hebat, dan juga diketahui berkawan dan menolong manusia, terutamanya pawang atau bomoh. Orang bunian dikatakan menculik kanak-kanak, dan bayi didalam perut wanita dan ada dituduh menyebabkan manusia sesat di dalam hutan.Orang bunian dikatakan mirip dengan manusia (kecuali berasaskan fakta mereka biasanya ghaib atau halimunan) tidaklah dihiraukan untuk mereka berkahwin dengan manusia. Malah ada pendapat yang mengusulkan bahawa bunian ini adalah hasil gabungan hubungan manusia dan jin. Sekali seorang manusia telah pergi untuk tinggal dengan orang bunian, dia tidak boleh balik ke alam biasa, sebagaimana orang bunian hidup lebih lama daripada manusia.
19. Saka
‘Saka’ adalah jin atau jin-jin yang diwarisi daripada seorang manusia kepada seorang manusia lain sama ada secara disedari atau tidak, biasanya melibatkan keturunan. Namun bagi masyarakat Melayu, ‘saka’ lebih difahami sebagai jin/ nenek moyang yang turun daripada orang tua (datuk, nenek, bapa, bapa saudara) kepada orang yang lebih muda yang ada pertalian darah dengannya (seperti anak, cucu, anak saudara). Masyarakat Melayu dahulu suka mengambil jin-jin sebagai pembantu mereka untuk menjaga rumah, keluarga, ladang, perubatan dan persilatan. Oleh kerana telah ada persetujuan antara jin dengan tuanya jin, maka jin itu akan terus mendampingi tuannya buat selamanya selagi tidak dibuang (dinamakan buang saka). Setelah tuanya meninggal, jin itu akan mendampingi pula keturunannya sampailah ke beberapa keturunan selagimana jin itu tidak dibuang.
20. Orang minyak
Orang minyak merujuk kepada seseorang yang menuntut ilmu batin bagi tujuan menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa bagi tujuan mencuri/membuat onar.Dikatakan orang minyak ini telah tersalah menuntut ilmu sihir, menyebabkan dia menjadi hitam dan hanya akan pulih selepas memperkosa 40 orang gadis. Mangsa akan menjadi terpukau dan ditanda dengan dipangkah pada mukanya selepas dinodai.
Zombie atau di Eropah digelar sebagai `Vampire` adalah makhluk yang menyerupai manusia tetapi tidak sempurna. Boleh dikatakan sejenis mayat hidup yang mengerikan. Zombie dikatakan sangat hodoh, terhuyung-hayang, busuk, selekeh dan gemar memakan daging manusia khususnya otak. Dipercayai zombie hidup dalam kegelapan, tempat yang tidak disinari cahaya matahari atau hanya berkeliaran pada waktu malam sahaja. Ini kerana Zombie akan terbakar dan hancur jika terkena pancaran cahaya matahari.
Makhluk ini juga dikatakan hidup berkumpulan, menetap disesuatu tempat dalam tempoh tertentu dan mempunyai ketua dalam kumpulannya. Bilangan ahli kumpulan zombie ini akan bertambah hari demi hari selagimana mereka berjaya memburu dan membunuh. Mangsa yang dibunuh atau digigit dipercayai akan berubah menjadi zombie hanya dalam beberapa ketika sahaja. Zombie berkait rapat dengan kepercayaan/ajaran voodoo dimana orang mati telah dihidupkan semula oleh bokor (tukang sihir) dan jiwa manusia mati ini digunakan untuk meningkatkan daya/kuasa sihirnya.
22. Sang Kelembai
Sang Kelembai adalah makhluk ghaib yang menghuni hutan tertentu, biasanya hutan belantara atau gunung. Sesetengah tempat ia dipanggil Sang Gedembai dan merupakan makhluk yang sangat ditakuti (khususnya kanak-kanak) suatu ketika dahulu. Sang Kelembai dikatakan mempunyai kuasa sakti yang boleh menyumpah sesiapa sahaja menjadi batu. Sang Kelembai hanya berada di dalam hutan dan pantang kepada bunyi bising. Jika Sang Kelembai tertarik dengan bunyi tersebut atau membuatnya terganggu,ia akan menegur. Manusia atau binatang yang ditegur akan menjadi batu.Contohnya bentuk batu-batu yang aneh bentuknya dan menyerupai manusia akan dikatakan telah 'ditegur' oleh Sang Kelembai akibat melanggar pantang. Dalam masyarakat Melayu tradisional, Sang Kelembai amat ditakuti oleh kanak-kanak. Oleh sebab itulah orang-orang tua melarang kanak-kanak membuat bising atau menegah mereka daripada bercakap banyak kerana takut disumpah oleh Sang Kelembai.
23. Pari-pari
Pari-pari merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu yang terdapat dalam hutan.Pari-pari ini dikatakan mempunyai masyarakat tersendiri dan boleh dikatakan menyerupai orang bunian. Sesetengah sumber mengatakan pari-pari ini bersaiz kecil (tapak tangan), bersifat seni, bersayap, boleh terbang / terapung di udara, disinari cahaya berkerlipan serta mempunyai kuasa ajaib dan mampu membantu menyembuhkan penyakit atau memberi kekayaan.
24. Hantu Air / Laut
Hantu Air atau Hantu Laut merupakan sejenis makhluk halus digelar mambang atau jin yang terdapat di dalam kawasan berair. Makhluk ini dianggap agak keras dan mampu membahayakan mereka yang bertembung dengannya.Kebiasaannya ia dikatakan terapung-apung seperti batang kayu buruk, tetapi mampu melumpuhkan mereka yang tersentuh dengannya. Selain itu, ia dikatakan mampu menjelma untuk mengusik mereka yang berada di pinggir air.
Dipercayai bahawa hantu air / laut berasal daripada ilmu dan makhluk halus yang dibuang, dihanyutkan melalui sungai mengalir ke laut dengan menggunakan acak.Air laut yang berkilauan dikatakan menunjukkan kehadirannya. Dalam kepercayaan ortodok, satu upacara yang dikenali sebagai sembah laut akan diadakan setiap tahun bagi menggelakkan gangguan para nelayan dari hantu air (laut), Upacara ini juga dikenali sebagai puja pantai / main pantai.
25. Hantu Raya
Hantu Raya dalam budaya Melayu, merujuk kepada sejenis makhluk halus dan perkara tahyul. Ia dikatakan terdiri daripada golongan jin atau syaitan, yang dipelihara bagi tujuan membantu tuannya melakukan kerja dan juga bagi memudaratkan musuh.Cara mengambilnya ialah melalui pokok kelapa yg dipanah petir.
Hantu Raya akan dikawal oleh pemiliknya yang boleh menyuruhnya melakukan apa-apa juga jenis kerja berat. Hantu Raya juga boleh disuruh oleh tuannya bagi merasuk seseorang. Hantu Raya mempunyai keupayaan menjelma sebagai manusia biasa atau haiwan lain, dan biasanya Hantu Raya akan menjelma sebagai tuannya seperti menyerupai perempuan tua mahupun lelaki walaupun tuan empunya badan sudahpun meninggal dunia.
Hantu Raya yang dipelihara itu akan perlu diberi makan sebagaimana yang dipersetujui. Biasanya makanan yang disediakan dikenali sebagai acak / sajian termasuk telur, ayam panggang, pulut kuning dan sebagainya. Sekiranya tidak dijaga dengan baik dan diberi makan, Hantu Raya yang kelaparan itu akan menyerang tuannya.Hantu Raya biasanya perlu diwarisi, dan sekiranya tidak diturunkan kepada waris, tuannya akan menjadi bangkai bernyawa. Tubuhnya mati dan berbau busuk, tetapi apabila hendak dikebumikan, ia akan bangkit seperti hidup. Selain itu, ia akan makan dengan lahapnya apabila diberi makan.
26. Hantu Jepun
Hantu Jepun merujuk kepada sebarang bayangan atau makhluk yang berpakaian seperti tentera Jepun. Selalunya ia dikaitkan dengan tempat-tempat di mana pernah dijadikan markas tentera semasa Perang Dunia II, ketika Jepun menawan Malaysia.Tempat yang selalu selalu disebut-sebut sebagai kawasan yang dihantuinya adalah bangunan sekolah berasrama, pejabat kerajaan dan bangunan-bangunan penting yang ada semasa Perang Dunia II atau tempat orang dipancung kepalanya semasa pemerintahan Jepun.Selalunya ia dilihat sama ada bersenjatakan senapang atau pedang, tanpa berkepala atau kepalanya dipangku bersama-samanya.Kadang kala, ia dikatakan berbaris lengkap bersenjata pada waktu malam (tanpa kepala), dengan bunyi derapan kasut but tentera.
27. Hantu Bukit
Hantu Bukit merujuk kepada sejenis makhluk halus yang dibuang oleh bomoh atau dukun ke dalam hutan. Oleh sebab itu, masyarakat Melayu dahulu mempercayai banyak pantang larangnya jika berada didalam hutan. Antaranya tidak boleh menebang pokok sesuka hati dilarang mematahkan ranting sembarangan ataupun membuang air tanpa izin kerana buruk akibatnya jika hantu bukit marah.Hantu Bukit dikatakan menghuni dan berkeliaran dikawasan hutan dan sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat terutamanya wanita. Kerapkali ia menyerang mereka yang gemar memanjat bukit atau gunung serta tiada perlindungan diri seperti ayat pendinding atau mentera. Mangsanya yang tersampuk akan menjadi tidak keruan dan meracau seperti histeria atau gila.
28. Hantu Kubur
Hantu Kubur merujuk kepada sejenis makhluk yang berkeliaran dikawasan perkuburan lama atau jirat / makam tinggal. Kebanyakkan pokok-pokok kelapa atau pohon-pohon besar yang mati akibat dipanah petir dikawasan perkuburan seringkali dikaitkan dengan kewujudan hantu kubur ini. Difahamkan hantu ini amat ditakuti dikalangan orang-orang asli kerana mereka percaya hantu ini boleh menyebarkan penyakit terhadap puak mereka. Ini adalah antara sebab orang asli berpindah randah sekiranya berlaku kematian khususnya puak asli Kubu (Indonesia) dan Jakun (Malaysia).
29. Hantu Galah/Hantu Tinggi
Hantu Galah atau Hantu Tinggimerujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu yang dikatakan menyerupai bentukseperti manusia tetapi bersaiz besar dan amat tinggi sehingga kepalanya dikatakan menyapu awan. Ia sering kali ditemui jauh di dalam hutan dan biasanya hanya kakinya yang kelihatan.Mereka yang diusiknya dikatakan sering menyangka kakinya sebagai batang pokok. Kakinya dikatakan berbulu panjang dan mangsa hanya terserempak pada waktu malam apabila sering bersandar atau memegang kakinya, atau ketika melalui celah kangkangnya.Hantu Galah dipercayai hanya mengusik tetapi tidak membahayakan orang.Manusia yang bersahabat dengannya dikatakan boleh mencabut bulu betisnya yang akan dibakar untuk menyerunya apabila memerlukan pertolongannya.
Hantu galah dikatakan nampak dalam keadaan normal apabila kita pertama kali melihatnya tetapi menjadi tinggi dan tinggi sampai ke satu masa kita hanya melihat kakinya. Seseorang dinasihatkan supaya tidak mendongak ke atas atau kepala kita akan selama-lamanya mendongak ke atas.Masyarat Melayu dahulu juga dilarang berjalan atau melalui di celah kaki / kelangkang hantu ini kerana ia akan mengepit orang itu dengan kakinya yang panjang. Jika ditakdirkan terjumpa hantu galah, dinasihatkan supaya menirap kerana tubuh makhluk ini yang tinggi lampai, ia tak akan perasan manusia yang menirap.
30. Hantu Kum-Kum/Kom-Kom
Hantu Kum-Kum atau Hantu Kom-Kom dikatakan bermula dengan seorang wanita yang mengamalkan ilmu mencantikkan muka. Tetapi salah satu pantangnya merupakan dia tidak boleh melihat cermin selama 10 hari / sesetengah cerita menyatakan sebulan.Semenjak hari itu semua orang memuji-muji kejelitaan wanita itu dan menyebabkan dia tidak sabar dan melihat wajahnya di cermin pada hari terakhir. Akibatnya mukanya menjadi buruk, dan setelah dia menemui kembali gurunya, dia diberitahu bahawa mukanya hanya akan kembali cantik setelah dia menyapu mukanya dengan darah XX perawan.Disebabkan itu wanita itu merayau-rayau mengetuk pintu rumah bagi mencari mangsa sambil menyatakan "Kum-Kum" sambil mengenakan hijab/purdah/burqa.
31. Hantu Kopek/Tetek/Sorok
Hantu Kopek atau Hantu Tetek juga dikenali sebagai Hantu Sorok merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu yang suka menganggu manusia khususnya kanak-kanak. Kononnya Hantu Kopek menyerupai seorang wanita tua seperti nenek kebayan dan suka menyorokkan kanak-kanak kecil yang gemar bermain-main di luar rumah semasa waktu maghrib/senja dengan cara menyembunyikan mereka. Kehilangan kanak-kanak ketika bermain `aci` atau `sorok-sorok` juga dikaitkan dengan hantu ini. Dukun/pawang akan dipanggil bagi mengesan serta memujuk makhluk ini mengembalikan kanak-kanak yang disembunyikan/disorokkannya itu.
32. Hantu Susu
Hantu Susu dalam masyarakat Melayu merujuk kepada makhluk yang menyerupai perempuan atau seorang ibu yang menggendong anaknya sambil memakai selendang atau bertelekung. Berbeza dengan pontianak kerana Hantu Susu tidak merasuk dan mengganas, ia sekadar singgah dan berlalu.Hantu ini dikatakan sering mengetuk pintu rumah berulang kali pada waktu tengah malam sambil mengemis susu untuk diberikan kepada anaknya. Apabila pemilik rumah membuka pintu ia akan hilang, kemudian kembali mengetuk pintu dan gangguan ini berterusan sepanjang malam. Kadangkala hantu ini akan meninggalkan buah tangan kepada pemilik rumah tersebut seperti bunga-bungaan dari kuburan ataupun batu nisan. Dipercayai makhluk ini boleh diusir dengan menggantungkan buluh runcing / buluh kuning dihadapan pintu, ataupun dengan memelihara kucing kerana dikatakan hantu ini takut kepada kucing. Kejadian Hantu Susu mengganggu penduduk pernah menggemparkan beberapa buah negeri suatu masa dahulu.
33. Hantu Jarang Gigi/Big Foot
Hantu Jarang Gigi (nama panggilan tempatan) atau lebih dikenali sebagai `Big Foot` merupakan makhluk lagenda yang jarang-jarang sekali ditemui oleh manusia. Big Foot akan menonjolkan diri atau keluar dari tempat persembunyiannya hanya pada ketika tertentu sahaja. Makhluk ini biasanya dilihat dihujan hutan Malaysia selatan pada musim hujan dan musim buah-buahan. Ia merupakan makhluk yang boleh dilihat jelas oleh manusia, tidak seperti hantu atau makhlus halus yang lain. Makhluk ini menyerupai gorilla tetapi lebih besar dan gerak gerinya seperti manusia. Badannya dilitupi bulu tebal berwarna hitam, tingginya mencapai 3 meter dan meninggalkan jejak (tapak kaki) hingga 45 sentimeter besarnya. Digelar Hantu Jarang Gigi oleh penduduk tempatan kerana giginya lompong secara meluas ruang dan tidak tersusun.
34. Hantu Songkei
Hantu Songkei adalah sejenis hantu yang mempunyai struktur tubuh badan yang kecil atau kerdil dan tidak mempunyai leher. Ia merupakan semangat yang membuka jerat atau perangkap bagi melepaskan binatang, dipercayai cucu hantu pemburu. Makhluk ini dipercayai memusuhi para pemburu yang menangkap haiwan di dalam kawasan jagaannya. Adakalanya hantu ini menyamar sebagai ayam hutan, burung, rusa atau pelanduk dan seringkali mengusik pemburu bilamana haiwan buruan yang dibedil tidak mati atau tidak lut peluru. Disebabkan inilah kebanyakkan pemburu zaman dahulu mengamalkan pantang larang seperti meminta izin ketika memasuki hutan, tidak tamak ketika berburu, pulang dengan selamat tanpa sesat dihutan.
35. Hantu Tanglung/Bebola Api
Hantu Tanglung atau juga dipanggil Bebola Api merujuk kepada makhluk atau objek terbang yang bercahaya yang tidak dapat dikenalpasti asal usulnya. Ia dikatakan mengeluarkan cahaya berwarna merah dan kuning seperti api yang bernyala serta berbentuk bulat, saiznya sebesar bola atau tanglung cina. Dipercayai boleh ditemui pada waktu malam, dalam hutan tebal atau pada waktu hujan. Makhluk atau objek ini bergerak bebas secara solo dan tidak mengganggu manusia, juga tidak dipastikan sama ada ia mempunyai pemilik/tuan atau pun tidak.
36. Hantu Bidai/Balong Bidai
Hantu Bidai atau dikenali juga sebagai Hantu Balong Bidai merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu yang suka menganggu manusia. Kononnya hantu bidai merupakan semangat jahat yang tinggal dalam air. Hantu Bidai mampu menyerupai tikar, dan akan menggulung dan melemaskan mangsa. Hantu ini dikatakan menghuni kawasan berair dan mendap seperti empangan, kawah sungai, lombong tinggal serta tasik. Mangsa biasanya akan mengalami kekejangan/kesukaran ketika mandi/berenang sebelum tenggelam dan lemas didasar air.
37. Hantu Cina
Hantu Cina dalam masyarakat Melayu adalah mayat hidup yang menyerupai lelaki, lengkap berpakaian tradisi cina, mukanya diawet dan bersolek (putih melepak). Hantu ini bergerak dengan cara melompat sambil kedua-dua belah tangannya lurus ke depan. Jarak lompatannya dikatakan lebih jauh berbanding hantu pocong. Ada pendapat mengatakan Hantu Cina boleh tangkap atau dihentikan pergerakkannya jika dahi/mukanya ditampal dengan kertas yang tertulis azimat. Dipercayai makhluk ini bangkit dari kubur/jirat cina kerana rohnya tidak tenteram walaupun jasadnya disemadikan dengan sempurna. Ianya tidak merasuk tetapi gemar mengganggu manusia, biasanya dimalam hari. Sesetengah orang mempercayai bahawa Hantu Cina ini membunuh dan memakan manusia seperti zombie, tetapi tiada bukti kukuh untuk menyokong pendapat tersebut.
38. Hantu Roh / Aura Syiling
Hantu Roh Syiling atau `Spirit of the Coin` merupakan hantu yang diseru dalam satu permainan yang dianggotai oleh beberapa orang ahli. Permainan ini menggunakan sekeping duit syiling, dikatakan makin lama usia syiling tersebut semakin kuat seruan terhadap roh hantu. Mantera akan dibacakan untuk menyeru roh, dimana semua pemain akan tertumpu kepada syiling tersebut dan setiap pemain dikatakan mesti menghabiskan permainan sehingga tamat jika tidak mahu ditimpa musibah. Hidup dan mati akan ditentukan oleh roh syiling tersebut. Duit syiling tersebut dikatakan bergerak sendiri hasil daripada semangat atau aura roh yang diseru. Jika semangat roh tersebut memberikan alamat yang tidak baik, nescaya orang yang dipilih itu akan mendapat mudarat dan akan ditimpa malapetaka walaupun pelbagai cara dilakukan untuk menafikannya. Dikatakan roh syiling akan mengekori, mengancam hidup serta membawa padah kepada sesiapa yang dipilihnya.Adakalanya orang tersebut mati dalam keadaan yang dasyat dan mengerikan.
39. Hantu Kuda (Kuda Kepang)
Hantu Kuda dikatakan semangat yang meresapi penari-penari tarian Kuda Kepang atau tarian zapin. Tarian Kuda Kepang ialah sejenis tarian pahlawan berkuda di Tanah Melayu khasnya di negeri Johor yang merupakan salah satu “permainan rakyat” dalam majlis perkahwinan ataupun keramaian. Bagi penari yang taksub, ada ketikanya dia bagaikan dirasuk semangat kuda dan bertindak diluar dugaan serta berkelakuan aneh. Tindakannya tidak seperti sediakala dan tenaganya jauh lebih kuat dari manusia biasa. Penari yang dirasuk oleh hantu ini boleh menjadi ganas dan membahayakan orang ramai sekiranya tidak terkawal kerana dikatakan ianya boleh menyebabkan orang yang berdekatan turut terkena sampuk. Semangat hantu ini boleh disingkirkan melalui jampi serapah oleh dukun/pawang.
Harimau Jadian dalam budaya Melayu, merujuk kepada sejenis ilmu yang membolehkan penuntutnya bertukar menjadi harimau apabila dikehendaki. Ia dikatakan dibantu oleh golongan jin atau syaitan, yang dipelihara bagi tujuan membantu tuannya mempertahankan diri dan juga bagi memudaratkan musuh. Penuntutnya boleh menjelma sebagai separuh atau sepenuhnya (harimau sebenar) dengan memiliki kekuatan luar biasa.Harimau Jadian biasanya dituntut bagi tujuan mempertahankan diri dan juga boleh disalah gunakan bagi membinasakan musuh atau orang yang dibenci pemiliknya. Bagi penuntut ilmu ini, mereka perlu membuang ilmu mereka atau mewariskannya kepada keturunan mereka sebelum mati, jika tidak penuntut ilmu ini sukar meninggal dunia.
Lain-Lain Jenis/Nama Hantu
Terdapat juga jenis/nama hantu yang agak asing / jarang di dengar oleh masyarakat kita, mungkin ianya diberi nama sempena tempat kejadian atau peristiwa oleh bomoh, pawang atau dukun. Antaranya ;
1.HANTU ANAK GUA BATU
- Menghuni gua batu diseru oleh pawang perempuan di Utara Semenanjung.
2. HANTU APU
- Hantu tikar yang tidak bahaya gemar kepada majlis keramaian.
3. HANTU BANDAN - Semangat air terjun, kepalanya menyerupai kawah tembaga.
4. HANTU BATU
- Tergolong dalam hantu yang baling batu.
5. HANTU BELIAN
- Semangat harimau, semangat belaan.
6.HANTU BERUK
- Semangat beruk yang merasuk penari-penari.
7.HANTU GENGAL
- Semangat hantu jahat yang menyebabkan bisu.
8.HANTU GOLEK
- Hantu kubur yang bergerak dengan bergolek kerana badannya berbungkus.
9.HANTU GULUNG
- Hantu air yang menggulung mangsa.
10.HANTU GUNUNG
- Semangat yang menghuni gunung ganang.
11.HANTU BULU
- Semangat yang diseru oleh pawang.
12.HANTU HUTAN
- Semangat hutan yang dianggap hantu tertua dikenali hantu rimba.
13.HANTU JAMUAN
- Hantu limunan yang mesti dijemput pada jamuan jika tidak akan mengganggu majlis.
14.HANTU JERAMBANG
- Semangat jahat yang muncul ditengah-tengah laut dan melekap ditiang layar kapal.
15.HANTU KUANG
- Mata 100, serupa burung kuang di seru oleh pawang.
16.HANTU LANGUT/LONGGAK
- Hantu pemburu yang berkepala anjing berbadan manusia.
17.HANTU KEMAMANG
- Semangat betina penghuni tanah yang merasuk bayi yang baru lahir, kemamang dalam bahasa jawa bermaksud bebola api.
18.HANTU JINJANG
- Hantu belaan pawang, yang bermaksud dalam bahasa jawa lama iaitu semangat.
19.HANTU KANGKANG
- Hantu jantan, sejawat hantu kopek, ia mengunakan alat sulit ketika menyerang mangsa.
20.HANTU TO' KUKU PANJANG
- Nama lain hantu pemburu.
21.HANTU WEWER
- Hantu limunan yang menyesatkan pengembara; wewe bererti perempuan tua yang hodoh dalam
22.HANTU LEMBONG
- Semangat yang menghuni bonjol pada pokok tualang.
23.HANTU LEMONG
- Semangat yang tinggal diantara langit dan bumi yang bergerak pada waktu malam.
24.HANTU BISA
- Hantu jahat yang dikaitkan dengan keracunan darah.
25.HANTU BUJANG
- Hantu sembelih muda, belaan pawing perempuan di selatan Thai.
26.HANTU BUNYI-BUNYIAN
- Hantu halimunan, tidak boleh di dengar, menyesatkan orang di dalam hutan .
27.HANTU BUTA
- Menyebabkan buta. Tergolong dalam hantu bawa penyakit.
28.HANTU CIKA
- Menyebabkan kembung malam dan hantu yang bawa penyakit.
29.HANTU DAGUK
- Menyerupai awan berbentuk aneh, hantu orng yang mati dibunuh.
30.HANTU DENAI
- Hantu syaitan, laluan binatang buas dan berkait rapat dengan hutan.
31.HANTU DOMAN
- Semangat jelmaan hanuman, dewa monyet, tidak menyerupai monyet tetapi manusia berkepala kuda atau anjing.
32.HANTU GAHARU
- Semangat yang kuat dan merbahaya yang menjaga kayu gaharu.
33.HANTU BANGKIT
- Hantu yang mati dibunuh dan bangun menuntut bela.
34.HANTU ORANG/JEMBALANG
- Hantu dalam bentuk orang bertopi merah bersandar pada tongkat makan tanah asal orang mati.
35.HANTU PUSAKA
- Semangat keturunan berkaitan dengan pawang.
36.HANTU PUTERI
- Menyerupai gadis cantik yang menggoda jantan atau lelaki yang selalu membuat maksiat atau berzina, sehingga sesat jauh kedalam hutan.
37.HANTU RIBUT
- Semangat hutan belantara yang menggangu orang yang mengembara seorang diri.
38.HANTU SAWAN
- Menyebabkan sawan kepada budak-budak kecil.
39.HANTU TANAH
- Semangat tanah hampir sama dengan spesis jembalang tanah.
40.HANTU TIGA BERANAK
- Keluarga tiga beranak yang jahat, yang bertukar menjadi hantu setelah disumpah oleh guru mereka.
41.HANTU PANCUR
- Semangat yang tinggal di anak sungai terutama di air terjun.
42.HANTU PEKAK
- Menyebabkan pekak dan golongan bawa penyakit.
43.HANTU PELAK
- Hantu yang berdendam menuntut bela, menghantui tempat jenayah berlaku.
44.HANTU PEMBURU
- Dikaitkan dengan asal manusia di Sumatera.
45.HANTU PENYAKIT
- Tergolong dalam hantu yang bawa penyakit
46.HANTU KOCONG
- Juga dikenali hantu kelubung yang menunggu mangsa di tanah perkuburan.
47.HANTU KERTAU
- Semangat jahat yang sangat merbahaya waktu kelahiran bayi, dikatakan mempunyai kepala babi hutan dan bertanduk rusa.
48.MAMBANG KUNING
- Semangat kuning waktu matahari terbenam yang membawa demam kuning dan sangat merbahaya kepada kanak-kanak.
49.MAMBANG PUTIH
- Semangat/aura putih matahari.
50.ZAR
- Semangat/aura yang kurang penting (Islam) tetapi nakal.
2 ulasan:
bro.. aku pinjam gambar hantu susu ko... aku nanti bagi credit dan backlink blog ko k..terima kasih :)
mak ai.,banyak nya spesis2 hantu ni.,mengalahkan spesic manusia plak.,hehe~
-Alahai~
Catat Ulasan