Selasa, 24 Ogos 2010

HANTU & Sihir

Sihir dari segi istilah merupakan satu perbuatan menyakiti atau mempengaruhi badan, hati atau akal orang yang disihir secara tersembunyi (ghaib) yang melibatkan makhluk halus, dan dilakukan di luar hukum alam bagi mencapai tujuan tertentu, contohnya menyakiti seseorang, mengubati penyakit, melakukan aksi silap mata dan juga meramal masa hadapan. Hantu/makhluk halus/ghaib digunakan sebagai perantara bagi melaksanakan tujuan sihir. Penggunaan istilah sihir dalam alam Melayu pada kebiasaannya merujuk kepada ilmu hitam.Sihir ialah penyakit yang tidak dapat disembuhkan oleh Teknologi Moden/Penyakit Kronik !!!

Di barat mahupun negara-negara Eropah, ahli sihir sering digambarkan sebagai wanita tua yang jahat dengan kulit yang berkedut dan topi berbucu tajam, berbaju hitam atau ungu, dengan hidung yang berketuat dan kadang-kadang kuku yang panjang serta mempunyai tongkat sakti atau bebola seperti lampu yang bercahaya. Ahli sihir selalunya menaiki penyapu terbang seperti dalam cerita Harry Potter dan filem Hocus Pocus dan selalunya didampingi dengan kucing hitam.

Dalam masyarakat Melayu, ahli sihir agak sukar dikenalpasti melainkan seseorang itu mempamerkan kebolehan luar biasanya. Selalunya pengamal sihir seorang bomoh, dukun, pawang atau guru silat/pendeta.

Contoh sihir yang terkenal dalam masyarakat Melayu

SANTAU
Nama ini sudah begitu popular di kalangan masyarakat Melayu. Santau merupakan bahan campuran antara kaca yang ditumbuk halus dan ia akan dimasukkan ke dalam makanan atau minuman mangsa dengan membaca ayat-ayat tertentu oleh tukang sihir. Ada sesetengahnya menggunakan serbuk besi atau paku berkarat bagi menganiayai mangsa. Terdapat dua jenis iaitu santau tuju dan santau angin. Sihir ini boleh membuat mangsanya menderita hingga membawa maut.

SUSUK
Susuk merujuk kepada memasukkan sesuatu bahan asing ke dalam badan bagi mendapatkan sesuatu kelebihan seperti kebal, kecantikan, kuat. Pelbagai bahan boleh digunakan, bergantung kepada apakah keinginan pengguna seperti susuk emas atau tembaga. Susuk perlu dibuang sebelum pengamalnya meninggal dunia, jika tidak dia akan menerima padah dan azab yang seksa seperti sukar menghadapi sakaratul maut ibarat mayat hidup.

TELUR LAYANG
Tukang sihir akan mengambil sebiji telur yang telah dijampi lalu dibalut dengan kain kuning. Kemudian sebatang jarum akan dicucuk ke dalam telur tersebut sambil jampi mantera dibaca. Akibatnya mangsa akan berasa sakit serta menderita dan boleh membawa maut.

TANGKAL dan AZIMAT
Tukang sihir akan menulis ayat azimat dengan lidi daun pokok kabong berserta dakwat merah yang dicampur dengan bedak za'faran dan air ros. Dakwat merah tersebut adalah darah seseorang yang telah mati dibunuh dengan kejam atau darah ayam jantan. Kemudian tangkal atau azimat tadi diperasap dengan kemenyan yang dilakukan pada malam jumaat atau malam khamis dan ditujukan kepada mangsanya.

PATUNG
Tukang sihir akan menggunakan bahan-bahan yang didapati daripada tubuh badan mangsa seperti rambut, kuku dan sebagainya yang kemudian diikat pada patung. Seterusnya patung itu dicucuk dengan jarum. Pada masa yang sama jampi mantera dibaca oleh tukang sihir tersebut dan dipercayai mangsa akan berasa sakit dan boleh membawa maut.

SIHIR PEMBENCI dan KASIH SAYANG
Sihir pembenci bertujuan memisahkan sepasang kekasih atau suami-isteri. Manakala sihir kasih-sayang boleh dilakukan oleh tukang sihir dengan menulis ayat-ayat jampi di atas kertas kemudian dibakar dan habuknya dimasukkan ke dalam minuman yang disertakan dengan jampi sambil menyebut nama orang yang dihajati. Boleh juga dihasilkan dalam bentuk minyak seperti minyak pengasih dan senyonyong, dimana minyak ini akan dicalitkan pada mangsa, dengan itu cita-cita pengamal tersebut akan tercapai.


Sihir di Alam Melayu
Ilmu hitam yang dapat diamalkan masyarakat Melayu terbahagi kepada beberapa bahagian seperti berikut:

1. Melindung diri
►Kebal – Tidak lut dek peluru/ditembak mahupun ditikam dengan benda tajam. Diamalkan oleh  pesilat/pendekar.
►Perubatan – Sebagai rawatan untuk mengubati pesakit.Diamalkan oleh bomoh/dukun/pawang.

2. Mendapatkan kelebihan
►Kesaktian – Kuasa luar biasa/mukjizat yang tidak ada pada orang lain. Dimiliki oleh pendeta/guru silat.
►Pengasih – Sejenis ilmu hitam yang dapat membangkitkan rasa kasih seseorang terhadap seseorang.Biasanya minyak yang dijampi dan dicalit pada mangsa.
►Perapun – Ilmu mengalahkan/melemahkan pihak lawan/musuh.
►Gagah – Kekuatan/tenaga berlebihan yang dimiliki oleh seseorang dan mustahil dimiliki oleh manusia biasa.
►Perangsang – Ilmu yang digunakan bertujuan untuk menganiayai mangsa/musuh mahupun menaikkan semangat.
►Penderas – Dapat bergerak pantas dan cepat daripada orang biasa.
►Pukau – Sejenis ilmu atau jampi yang boleh menyebabkan mangsa menurut perintah/kaku/mamai/lupa diri mahupun tertidur buat seketika.

3. Mengawal/Memusnahkan musuh
►Penunduk: – Digunakan untuk menundukkan orang lain seperti nasi tangas/kangkang untuk menundukkan suami. Sihir ini boleh membuatkan seseorang itu patuh pada arahan.
►Santau/Tuju-tuju – Jampi-jampi yang membuat orang sakit. Juga menggunakan alatan lain seperti telur layang (telur yang telah dijampi) atau apa-apa sahaja untuk menyakiti orang dan boleh membawa maut.
►Pelali – Sihir yang boleh membuatkan seseorang lupa ingatan/tidak sedar pada tempoh/waktu tertentu.
►Cuca – Jampi yang boleh menundukkan musuh atau yang dapat mengubati luka.

4. Meramal masa hadapan – Tukang tilik/Tabib. Cuba mengetahui nasib dan takdir seseorang dimasa hadapan sama ada membawa tuah atau sial.

5. Alimun – Seperti ilmu ghaib atau halimunan, seseorang itu dapat menghilangkan dirinya / tidak dapat dilihat oleh orang lain.

Sihir yang diamalkan oleh masyarakat Melayu boleh dikelaskan beberapa kelompok seperti berikut:-
1. Saka - Menggunakan jin/syaitan - kadam, toyol, datuk, suruhan, roh orang mati, hantu dll.
2. Azimat – Penggunaan tangkal/barang aneh yang lain.
3. Menggunakan mentera,jampi, serapah - ayat-ayat tertentu.

Mereka yang merawat sihir biasanya melalui beberapa kaedah atau cara:-
1. Menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran.
2. Menggunakan kuasa dalaman atau tenaga batin.
3. Menggunakan bantuan makhluk halus lain (yang lebih kuat).

Pengamal perubatan Melayu yang merawat mangsa sihir boleh digolongkan kepada beberapa bahagian seperti:-
1. Pawang
2. Dukun
3. Bomoh
4. Orang Alim (ustaz, kiyai, lebai, ahli sufi)

Tiada ulasan: