Selasa, 24 Ogos 2010

HANTU & Penyakit

SUATU ketika dahulu, dada-dada akhbar dan media massa lain ada menyiarkan mengenai gejala histeria yang berlaku dibeberapa buah sekolah. Masyarakat kita memang tidak pernah lekang mengenai isu-isu sebegini. Hantu, syaitan, jin, sumpah sial, kena buat dek orang, perbomohan dan seumpamanya memang sinonim dengan masyarakat kita.
Kewujudan makhluk halus/ghaib ini memang tidak dapat dinafikan, bahkan kita akui sebagaimana yang tersebut didalam Al-Quran dan kitab. Meskipun demikian ada sebahagian kes berlaku tidak mempunyai kaitan dengan makhluk ghaib. Akan tetapi ia digembar-gemburkan sebagai suatu penyakit disebabkan oleh roh jahat.(syaitan atau jin). Ibnu Qayyim r.a dalam kitabnya, Zad Al-Ma’ad menyatakan :“Gila itu ada dua macam, gila kerana roh jahat yang ada di bumi, dan gila kerana tekanan (stress).

Yang kedua (tekanan) inilah sering dibicarakan/diperdebatkan oleh para doktor jiwa (psikiatri) tentang sebabnya dan penyembuhannya (secara moden). Ada sesetengah doktor menolak tentang kegilaan akibat roh jahat/rasukan selain percaya dengan teknik perubatan moden daripada teknik perubatan kuno. Sebaliknya ada juga doktor yang mengakui tentang kewujudan roh jahat/penyakit yang hanya boleh diubati secara traditional.
Seharusnya bersikap neutral dalam mengubati penyakit tersebut adalah lebih baik iaitu dengan mengakui kemungkinan ia adalah perbuatan syaitan atau jin dan mungkin juga ia berpunca daripada penyakit jasmani yang biasanya dirawat dengan ubat-ubatan atau pembedahan. Kesedaran ini perlu ada pada setiap orang bagi mengelakan mereka menghampiri perkara-perkara tahyul dan taksub kepada rawatan perbomohan mahupun sebaliknya.

Penyakit jiwa atau gila sering dikaitkan dengan hantu/makhluk halus/ghaib atau pun hasil `buatan orang`. Namun begitu, penyakit ini juga mempunyai penjelasan logik dari segi sains moden.

Penyakit Jiwa/Mental

Seorang yang diserang penyakit jiwa (Psychose), keperibadiannya terganggu, dan kurang mampu menyesuaikan diri dengan wajar, dan tidak sanggup memahami masalahnya. Seringkali orang yang sakit jiwa, tidak merasa dia sakit, sebaliknya menganggap dirinya normal saja, malah lebih baik, lebih unggul dan lebih penting dari orang lain.

Punca sakit jiwa/mental :

Pertama : Disebabkan oleh kerosakkan pada anggota tubuh seperti otak, saraf tunjang atau hilangnya kemampuan berbagai kelenjar. Mungkin disebabkan oleh kemalangan, minuman keras, ubat-ubatan narkotik dan sebagainya.

Kedua : Disebabkan oleh gangguan jiwa (tekanan) yang telah lama berlarutan hingga mencapai puncaknya tanpa suatu penyelesaian secara wajar atau hilangnya keseimbangan mental secara menyeluruh, akibat suasana yang sangat tertekan, ketegangan batin dan sebagainya.

1.Schizophrenia (Gangguan Perasaan)
Tidak ramai mengetahui mengenai penyakit schizophrenia. Schizophrenia adalah nama diberi kepada sekumpulan penyakit jiwa dimana terdapat gangguan dalam perasaan, pemikiran dan tingkah-laku seseorang itu. Ia adalah penyakit yang menyebabkan kehilangan keupayaan berfikir secara normal dan mengganggu kehidupan seharian seseorang itu. Sesiapa sahaja boleh menghidap Schizophrenia dan ia berlaku dengan kadar 1% dikalangan penduduk/orang awam, kebanyakkannya adalah orang yang berumur antara 15 – 30 tahun.

Simtom-simtom penyakit schizophrenia (secara umum):
• Kelakuan yang pelik dan ganjil.
• Bercakap atau ketawa seorang diri.
• Tidak terurus (dari segi kesihatan diri,rupa & pakaian).
• Gangguan tidur malam.
• Pertuturan sukar diikuti.
• Sangkaan ada orang mengawal dirinya.
• Berkeliaran.
• Cuai tentang kerjanya dan lain-lain.

Pesakit ini juga boleh mengalami gangguan persepsi atau `halusinasi` seperti mendengar suara-suara ghaib bercakap kepadanya atau bercakap sesama sendiri atau membuat ulasan terhadap apa yang dilakukannya sedangkan suara itu tidak didengari oleh orang lain. Malahan ada kejadian yang pesakit ini bertindak diluar jangkaan seperti membunuh atas alasan mengikut arahan `suara ghaib`.

Jika melihat perkara (simtom) ini berlaku dikalangan ahli keluarga kita, mungkin kita beranggapan ini pasti kerasukan makhluk halus/ghaib. Dinasihatkan bawa berjumpa dengan doktor telebih dahulu sebelum berjumpa dengan mana-mana pengamal perubatan “tradisonal”.
Ini kerana, sekiranya tidak dirawat, ia akan berubah ke peringkat schizophrenia yang kronik dan peluang untuk pulih normal secara 100% adalah tipis. Akhirnya, seseorang itu akan hidup menyendiri di dalam dunianya sendiri, tidak menghiraukan kebersihan dirinya, tidak ada motivasi untuk melakukan sebarang aktiviti serta kelihatan seperti tidak berperasaan.

2.Paranoia (Gangguan Pemikiran)
Paranoia merupakan penyakit ‘gila kebesaran’ atau ‘gila menuduh orang’. Diantara ciri-ciri penyakit ini adalah delusi iaitu berfikiran serong/menyalahkan orang lain. Delusi ialah satu kepercayaan yang kuat tetapi palsu yang tidak dapat digugat oleh pendapat yang waras. Contohnya percaya bahawa orang lain berpakat untuk berbuat jahat kepadanya, percaya bahawa fikiran dan kelakuannya dikawal oleh makhluk luar seperti jin, hantu atau keramat, percaya bahawa dirinya mempunyai kuasa yang istimewa dan luar biasa.Biasanya pertuturannya sukar difahami dan tidak berkaitan dengan soalan. Pesakit ini juga merasa bahawa dirinya orang besar, hebat tidak ada tolok bandingnya, meyakini dirinya adalah seorang pemimpin agung atau mungkin mengaku Nabi.

3. Manicdepressive (Gangguan tingkah laku)
Pesakit manicdepressive atau gangguan tingkah laku ini boleh dikelaskan kepada dua;

1.Mania
Mempunyai tiga peringkat iaitu ringan (hipo), berat (acute) dan sangat berat (hyper). Orang yang diserang oleh mania ringan (hipo) dilihat selalu aktif, suka mencampuri urusan orang, tidak kenal payah, pantang ditegur baik perkataan mahupun perbuatannya, tidak suka mendengar kecaman terhadap dirinya dan gemar bertengkar tetapi tidak mencederakan orang lain. Pesakit ini gemar mencaci-maki, marah-marah, mencarut dan sebagainya, kemudian kembali pada keadaan biasa (sediakala) dan kembali bekerja seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Bagi yang mengalami mania berat (acute), orang ini biasanya di serang oleh delusi-delusi pada waktu-waktu tertentu, sehingga sukar baginya untuk melakukan suatu pekerjaan dengan teratur. Pesakit menjadi gembira gembira dan seronok secara berlebihan sehingga tidak dapat membezakan tempat, waktu dan orang disekelilingnya, kemudian menjadi marah/sedih secara tiba-tiba.Penyakit ini dinamakan juga ‘gila kumat-kumatan’. Bagi mania yang sangat berat (hyper), pesakit kadang-kadang boleh membahayakan dirinya sendiri dan orang lain kerana sikap dan perbuatannya. Pesakit seperti ini perlu dirawat segera sebelum keadaannya bertambah teruk disamping memerlukan penjagaan sepanjang masa.

2.Melancholia
Pesakit kelihatan muram, sedih dan putus asa disamping rasa diserang berbagai macam penyakit yang tidak boleh disembuhkan ataupun dihantui rasa berbuat dosa yang tak mungkin diampuni lagi. Kadang-kadang pesakit ini gemar menyakiti dirinya sendiri. Orang yang diserang penyakit melancholia ringan sering mengeluh nasibnya tidak baik dan merasa tidak ada harapan lagi. Bagi penderita melancholia berat, dia akan menjauhkan dirinya dari masyarakat, suka menyendiri atau berkurung (kemurungan).


Alzheimer
Satu lagi penyakit yang juga dikaitkan dengan makhluk halus/ghaib adalah alzheimer atau dikampung dipanggil nyanyok. Pesakit ini biasanya suka melatah, merepek, cakap merapu, kurang ingatan dan kadang-kala bercakap seorang diri.

Apa itu Penyakit Alzheimer ?
Alzheimer merupakan sejenis penyakit "pelupa" yang kebiasaanya berlaku keatas orang yang sudah berusia. Ia adalah penyakit penurunan fungsi saraf otak yang kompleks dan progresif.

Penyakit ini adalah sejenis penyakit dimana seseorang itu gagal menguruskan diri sendiri dan memerlukan orang sekeliling membantunya. Penyakit ini bukan sejenis penyakit "nyanyok" tetapi ia tergolong dalam penyakit dementia. Antara ciri-ciri pesakit yang akan menghidap penyakit ini adalah:-
• pertuturan menjadi lemah
• kewarasan kurang baik
• ingatan bertambah teruk
• perubahan personaliti
• perubahan tingkah laku
• kurang pertimbangan

Tanda-tanda Alzheimer;
• Tidak mengingati perkara yang baru sahaja dilakukan lakukan dikategorikan sebagai peringkat sederhana Alzheimer.
• Pesakit sudah tidak mampu melakukan perkara asas seperti menguruskan diri sendiri, keliru dengan keadaan persekitaran di rumah, tidak mengenali rakan-rakan atau ahli keluarga. Ini adalah tahap pesakit di peringkat yang serius.
• Pesakit menjadi agresif, cepat marah dan hilang minat untuk berinteraksi atau melakukan perkara yang diminati/disukainya.
• Pesakit yang berada di tahap sederhana dan teruk akan menunjukkan tingkah laku yang pelik. Antaranya, seperti menjerit, terpekik dan mengikut penjaga ke mana saja walaupun ke tandas sekali pun.

Pesakit Yang Berisiko Mendapat Alzheimer ;
• Pesakit yang mempunyai penyakit hipertensi apabila mencecah usia 40 tahun ke atas.
• Pesakit yang menghidap penyakit kencing manis.
• Orang yang kurang melakukan senaman.
• Paras kolesterol dalam badan yang tinggi.
• Faktor keturunan.

Tiada ulasan: