Khamis, 5 Ogos 2010

Pengenalan HANTU

Apa Itu Hantu?

Hantu pada asasnya terbahagi kepada dua jenis, iaitu:-

1. Merupakan sejenis kewujudan tanpa fizikal seseorang yang mati. Ia sering dianggap sebagai roh atau semangat seseorang yang kekal di bumi selepas mati. Menurut sesetengah sumber, hantu merupakan personaliti seseorang selepas kematian mereka, dan tidak terikat secara langsung kepada semangat atau roh. Setiap kebudayaan di dunia mempunyai cerita hantu tersendiri, tetapi ia berlainan menurut masa dan tempat, dengan percanggahan mengenai apakah hantu dan samaada ia adalah khayalan atau sebahagian alam semulajadi.

2. Merupakan sejenis makhluk alam ghaib yang wujud dalam alam yang berlainan dengan alam fizikal manusia. Menurut Islam, roh orang yang mati tidak lagi tinggal di bumi, oleh itu hantu adalah jin yang mengganggu manusia.

Kepercayaan mengenai hantu roh atau semangat
Hantu seringkali digambarkan sebagai bersaiz dan berbentuk manusia (walaupun sesetengah gambaran menyebut hantu haiwan), tetapi biasanya digambarkan sebagai "berkilauan", "berbayang", "lutsinar", "seperti kabus", atau seumpamanya. Hantu tidak mempunyai tubuh kasar seperti manusia, hanya bayangan badan (astral body). Kadang kala ia tidak nampak dilihat tetapi dalam fenomena lain seperti pergerakan objek, lampu terpasang atau tertutup dengan sendiri, bunyi, dll, yang tidak mempunyai penjelasan logik.

Hantu Dalam Masyarakat Melayu.
Hantu merupakan kepercayaan mengenai makhluk halus yang wujud di dalam alam lain yang terdapat dalam semua kebudayaan dalam dunia ini. Dalam masyarakat Melayu hantu, semangat, jembalang atau penunggu telah wujud sejak zaman animisme lagi. Ketika itu semua benda besar seperti pokok atau batu yang besar dianggap didiami jin penunggu yang perlu dijaga dengan baik agar jin tersebut tidak mengamuk dan membahayakan penduduk sekitar. Malahan jamuan makanan atau acak disediakan oleh seseorang yang berpengalaman yang dikenali sebagai pawang bagi memastikan penunggu tersebut pula membantu penduduk daripada serangan wabak penyakit dan musuh tanaman. Amalan ini masih kekal dikalangan penduduk asli yang masih mengamalkan kepercayaan animisme.
Dengan kedatangan agama Hindu dan Buddha, konsep penunggu dan jembalang diubah menjadi konsep dewa-dewa yang mendiami tempat-tempat tertentu. Bagi menghormati dewa-dewa ini, kuil-kuil dibina ditempat-tempat tersebut dengan tujuan pemujaan. Keadaan ini tidak berubah dengan kedatangan orang-orang Cina yang juga mendirikan tokong kecil di bawah pokok atau tempat tertentu bagi mendapatkan bantuan tuah kepada mereka.
Kedatangan agama Islam mengajar bahawa tidak terdapat mambang dan hantu, yang ada hanyalah mahkluk halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Makhluk halus ini yang dikenali sebagai jin, dianggap mendiami alam yang berbeza dengan manusia. Islam mengajar bahawa makhluk halus atau jin ini tidak dapat memudaratkan manusia kecuali dengan keizinan Allah, Islam mengajarkan agar hanya takut dan mengesakan Allah semata-mata. Manusia digesa agar menjauhi pujukan syaitan dan selalu berdoa "Auzubillah himinash syaitanirrajim"-'Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam'.

Kebudayaan Melayu yang menebal menyebabkan masih ada yang terkeliru beza antara Islam dan budaya Melayu, yang mendorong mereka menyangka amalan-amalan kebudayaan adalah amalan Islam. Budaya hantu sukar dikikis daripada masyarakat kerana kecenderungan ibubapa menakutkan anak-anak menyebabkan anak mereka benar-benar takut kepada hantu dan percayakan bahawa hantu itu wujud.

Hantu wujud dalam minda Melayu sebagai satu penjelasan mengenai perkara-perkara yang tidak difahami atau diketahui. Contohnya :

• Mengapa seseorang itu sakit mengejut pada hal sebelum ini kelihatan sihat?
• Mengapa pokok besar dan berakar songsang itu berbunyi pada waktu malam?
• Mengapa kawasan kubur seperti ada sesuatu bergerak dan berbunyi pada waktu malam?
• Mengapa mayat seseorang dijumpai berkecai ketika berladang?
• Mengapa ada orang tersesat atau hilang dihutan dan tidak menjumpai jalan keluar?
• Mengapa sesebuah rumah itu ditinggalkan oleh penghuninya, dan orang yang baru berpindah masuk tidak kekal lama? Ada ganguan aneh dan bunyi orang mengilai?

Ada kemungkinan orang Melayu hendak menakutkan anak-anaknya janganlah keluar waktu malam atau waktu maghrib. Mungkin cerita hantu mudah direka dan menjadi hiburan pada waktu malam.

Filem hantu Melayu seperti `Pocong`, 'Pontianak', 'Dendam Pontianak', 'Pontianak Harum Sundal Malam', `Jangan Pandang Belakang`, `Congkak`, `Momok` dan lain–lain mendapat sambutan hangat daripada para penonton termasuklah filem hantu dari luar negara. Disamping itu, drama hantu juga tidak ketinggalan ditayangkan secara bersiri setiap minggu seperti `Seram` dan `Supernatural`.

Malah dokumentari alam ghaib seperti 'Filem Melangkah ke Alam Ghaib', 'Misteri Nusantara', `Seekers` dan `Ilmu Alam Ghaib` turut membincangkan mengenai kewujudan hantu.

Tidak kurang juga cerita-cerita hantu yang ditulis dalam majalah dan novel seperti majalah 'Mastika' dan 'Siri Bercakap dengan Jin - Tamar Jalis'.Semuanya berkisar tentang hantu dan makhluk halus.

Ciri-Ciri Umum Hantu;
Pada umumnya orang-orang Melayu percaya hantu menjalankan aktivitinya pada waktu malam sahaja khususnya pada bulan mengambang. 99 % hantu dalam masyarakat Melayu terdiri daripada perempuan atau menyerupai perempuan. Ianya adalah untuk ditakuti, bukan untuk didekati.

Berdasarkan gambaran umum (tidak semestinya tepat kebenarannya),kebanyakan hantu ini matanya merah, pada mulutnya merah kesan-kesan darah. Mulutnya penuh dengan gigi yang tajam bercerancang berwarna merah dan menghisap darah.

Jenis-jenis hantu

Ada pelbagai jenis makhluk halus yang dianggap hantu ini dan setiap jenisnya diberi nama masing-masing. Antara jenis-jenis kelompok hantu-hantu ini adalah :
1. Pontianak

2. Langsuir
3. Jerangkung
4. Pelesit
5. Toyol
6. Pocong/Hantu Punjut/Bungkus
7. Penunggu
8. Jin Tanah
9. Jembalang Tanah
10. Mambang
11. Keramat
12. Lembaga
13. Puaka
14. Penanggalan/Tengelong/Hantu Jeruk Purut
15. Polong
16. Bota
17. Bajang
18. Bunian
19. Saka
20. Orang Minyak
21. Zombi/Zombie
22. Sang Kelembai
23. Pari-pari
24. Hantu Air/Laut
25. Hantu Raya
26. Hantu Jepun
27. Hantu Bukit
28. Hantu Kubur
29. Hantu Galah/ Hantu Tinggi
30. Hantu Kum-kum/Kom-kom
31. Hantu Kopek/Tetek/Sorok
32. Hantu Susu
33. Hantu Jarang Gigi/”Big Foot”
34. Hantu Songkei
35. Hantu Tanglung/Bebola Api
36. Hantu Bidai/Balong Bidai
37. Hantu Cina
38. Hantu Roh Syiling
39. Hantu Kuda (Kuda Kepang)
40. Harimau Jadian

Tiada ulasan: